Wednesday, August 3, 2011

WANITA TIDAK DIGALAKKAN SOLAT DI MASJID?

Sesungguhnya tidak ada nas yang jelas menegah wanita ke masjid, cuma ada nas yang memberitahu bahawa solat di rumah adalah lebih baik. Antara hadis yang dimaksudkan adalah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid dan (solat mereka) di rumah-rumah mereka adalah lebih baik.” (Riwayat Abu Daud no. 567)

Daripada Aisyah r.a.; katanya, “Sekiranya Rasulullah s.a.w. menyaksikan para wanita apa yang kita lihat sekarang ini tentu Baginda menegah mereka pergi ke masjid sebagaimana Bani Israel menegah wanita-wanitanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama sepakat menyatakan solat berjemaah tidaklah wajib kepada kaum wanita. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla. Malah kita juga dapati sebahagian mereka menghukumkan makruh bagi wanita untuk ke masjid, terutamanya kepada gadis. Alasannya kerana bimbang berlakunya fitnah.

Selain itu, para ulama sepakat menyatakan bahawa tuntutan solat berjemaah kepada kaum wanita tidaklah sama seperti kaum lelaki. Imam al-Nawawi berkata dalam al-Majmu’: “Terdapat beberapa perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam hukum solat berjemaah, antaranya ialah tuntutannya tidaklah sama seperti yang dituntut kepada kaum lelaki.”

Pendapat Ulama yang Menegah Wanita ke Masjid Kebanyakan ulama yang berpegang kepada pendapat menegah wanita hadir ke masjid adalah atas dasar mengelakkan fitnah.

Antara mereka yang berpendapat sedemikian ialah Imam Abu Hanifah, Imam Hanbali dan para ulama Syafi’i. Para ulama Syafi’i dan Hanbali mengatakan bahawa makruh bagi wanita yang cantik atau memiliki daya tarikan, baik wanita muda atau tua, untuk pergi ke masjid solat berjemaah bersama-sama kaum lelaki. Hal ini kerana mereka sendiri adalah sumber fitnah dan lebih baik dia solat di rumahnya.

Abu Hanifah mengatakan bahawa makruh bagi seorang wanita yang masih muda menghadiri solat berjemaah (masjid) secara mutlak kerana takutkan fitnah. Manakala mazhab dalam kalangan para ulama mutakhir menyatakan makruh wanita menghadiri solat jemaah walaupun solat Jumaat secara mutlak, walaupun ia seorang wanita tua. Ini berikutan rosaknya zaman dan jelas kefasikannya.
Kebanyakan ulama berpendapat bahawa solat di rumah adalah lebih afdal bagi wanita berbanding di masjid sepertimana yang disabdakan Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Dan rumah kediaman mereka adalah lebih baik bagi mereka.”

Ada kalangan ulama yang mengatakan bahawa jika wanita solat di dalam bilik tidurnya, maka bertambahlah sifat malunya.

Syarat-Syarat ke Masjid

Pada dasarnya tiada tegahan mutlak untuk menghadiri ke aktiviti masjid terutama solat, namun dengan beberapa syarat.
Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa tidak mengapa bagi seorang wanita yang sudah tua pergi ke masjid untuk solat Subuh, Maghrib dan Isyak kerana nafsu syahwat yang boleh menimbulkan fitnah adalah pada waktu-waktu selain itu. Orang fasiq tidur pada waktu subuh dan isyak dan mereka sibuk dengan makan pada waktu maghrib.
Manakala para ulama Syafi’i dan Imam Hanbali berpendapat bahawa dibolehkan bagi para wanita yang tidak menarik untuk pergi ke masjid jika dia tidak mengenakan wangi-wangian dengan syarat mendapat keizinan suami masing-masing.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid namun (solat mereka di) rumah-rumah mereka adalah lebih baik.”

Dalam hadis lain disebut: “Apabila para wanita kamu meminta izin pada waktu malam untuk ke masjid, maka izinkanlah mereka.” (Riwayat al-Jama’ah kecuali Ibn Majah). laitu jika dipastikan aman daripada kerosakan (fitnah).

Ummu Salamah r.ha. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik tempat solat bagi wanita adalah di dalam rumahnya.” (Riwayat Ahmad, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu)
Rujukan:Ustaz Fadzli Al-Yamani. Mahalah Solusi Isu No 22 MS 38
Wallahualam.

No comments:

Post a Comment